Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Perbarisan raksasa meriahkan Sambutan HUT ABDB ke-64
31/05/2025




Meniti usia ke-64 tahun, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) terus mencatat kemajuan yang ketara sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang berwibawa dan berdaya saing.

Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB pada tahun ini bertemakan 'Bersama Bersatu Mencapai Cita Negara', menzahirkan semangat kesatuan dan iltizam ABDB dalam mendukung nilai-nilai teras ABDB serta falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), dengan tekad yang padu untuk merealisasikan gagasan negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan, berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Raksasa Sempena Sambutan HUT ABDB Ke-64 di Padang Kawad Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Pangkalan Laut Muara.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Padang Kawad dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan. 

Terlebih dahulu, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung ke Pentas Diraja bagi menerima Tabik Hormat Diraja, seterusnya memeriksa barisan Pasukan-Pasukan Perbarisan Raksasa di bawah pimpinan Pemerintah Perbarisan, Komander Mohammad Faizal Ezam bin Haji Abas, TLDB, yang melibatkan seramai 1,064 anggota ABDB terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB); Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB); Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB); berserta rombongan Panji-Panji Pasukan ABDB; Rejimen Pasukan Khas (RPK); Gabungan Askar Wanita ABDB; Gabungan Pancaragam ABDB, serta Serunai dan Tambur TDDB, dan aset-aset operasi ABDB.

Upacara disusuli dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat oleh pasukan-pasukan perbarisan dengan membawa Panji-Panji Pasukan ABDB diikuti dengan perbarisan mara ke hadapan untuk diperhatikan semula.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan mengurniakan sabda bersempena Sambutan HUT ABDB Ke-64.

Bagi memberkati upacara tersebut, bacaan Doa dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.

DYTM sekali lagi disembahkan dengan Tabik Hormat Diraja, diikuti dengan pelayaran lalu kapal-kapal TLDB - KDB DARUSSALAM, KDB BERKAT, KDB AL-FARUQ, serta terbang lalu pesawat-pesawat Blackhawk dan C295MW TUDB.

DYTM kemudiannya dijunjung berangkat ke Pusat Latihan TLDB (PLTL) bagi menyaksikan Pameran Perkembangan Pertahanan.

Seterusnya, DYTM berkenan berangkat ke Dewan Samudera, diikuti ke Mes Pegawai Waran Bintara Kanan dan Bintara TLDB bagi Majlis Ramah Mesra bersama Pegawai Tidak Bertauliah Rendah dan Pegawai Tidak Bertauliah Kanan ABDB.

Di kedua-dua lokasi tersebut, DYTM dijunjung untuk sesi bergambar ramai, seterusnya menerima Pesambah, dan berkenan menerima Junjung Ziarah serta menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.

DYTM seterusnya dijunjung berangkat ke Mes Pegawai TLDB bagi Majlis Santap Tengah hari.

Sejurus keberangkatan, DYTM dijunjung untuk bergambar ramai bersama mantan-mantan Timbalan Menteri Pertahanan, mantan-mantan Pemerintah ABDB, Jemputan Khas dan Pegawai-Pegawai Kanan ABDB.

DYTM kemudian dijunjung bagi Upacara Memotong Kek di Dewan Utama sempena Sambutan HUT ABDB Ke-64, dan seterusnya menerima Pesambah daripada pegawai-pegawai ABDB.

Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pemangku Pengarah JAMA'AT.

ABDB sentiasa bertunjangkan kepada tiga tonggak utama pertahanan seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2021 iaitu Cegah Rintang dan Tindakbalas, Diplomasi Pertahanan dan Pertahanan Holistik, sebagai landasan strategik dalam usaha mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.

Sementara itu, Sambutan HUT ABDB Ke-64 akan diteruskan hingga esok, Ahad, 1 Jun 2025 di Pangkalan Laut Muara bagi kunjungan orang ramai bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang yang memuatkan beberapa acara seperti Pameran Statik; Pameran Kerjaya; Lawatan Kapal; dan Bazar Jualan.

Manakala bagi Persembahan Arena pula akan bermula pada jam 10.45 pagi.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto